KUCHING, 27 Sept: Seramai 90 atlet Muay Thai bakal berentap pada edisi kedua NSIX Muay Thai Challenge 2023 (NSIXMC 23) bermula 29 September ini.
Kejohanan anjuran bersama Pusat Khidmat N6 Tupong dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) itu turut menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan bagi mewakili Sarawak serta Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Sarawak bukan asing dalam sukan berkenaan malah telah melahirkan nama besar yang turut diperakui di peringkat antarabangsa.
“Kita berharap agar atlet muda akan menjadikan idola Muay Thai itu sebagai inspirasi mereka,” katanya pada sidang media NSIXMC 23 di sini hari ini.
Fazzrudin menambah, sebanyak 38 kategori bakal dipertandingkan pada kejohanan itu dengan tumpuan pastinya untuk merebut Piala YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof.
“Selain itu terdapat juga kategori Juara Super 4 YB Fazz, Juara Superfight 4 YB Fazz serta juara keseluruhan NSIXMC 23,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ketika ini kejohanan hanya menerima penyertaan atlet Muay Thai Sarawak sebelum dibuka kepada peserta luar.
“Tempoh tiga tahun ditetapkan untuk mencapai matlamat itu sebelum NSIXMC membuka pintu kepada atlet Muay Thai luar Sarawak,” katanya.
Kejohanan edisi kedua itu yang berakhir pada 1 Oktober depan akan berlangsung di Dewan Serbaguna AKMAL, Akademi Latihan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sarawak, Jalan Matang di sini. -TVS