GEORGE TOWN, 27 Sept: Rumah asal Seniman Agung Negara, P. Ramlee di No. 4, Jalan P. Ramlee di sini dilaporkan mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih segera.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, lawatannya ke kediaman seniman tersebut baru-baru ini mendapati terdapat kebocoran pada atap dan siling yang hampir roboh.
Katanya, beliau meminta pihak berkenaan membaiki segera kerana keadaan itu amat menyedihkan.
“Menurut penjaga rumah molek warisan itu, laporan (kerosakan) sudah dibuat dan dikemukakan tahun lalu.
“Tentu sekali roh P. Ramlee akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ujar Rais, beliau menafsirkan kerosakan dan ketirisan struktur rumah itu tidak melebihi RM15,000.
Kediaman kayu setingkat itu dibina oleh bapa P. Ramlee, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan bapa saudaranya, Rejab Husin pada 1926.
P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada usia 44 tahun.
Rumah tersebut yang dibuka untuk lawatan dengan pameran barangan seperti diari, kenangan peribadi yang bersangkut paut dengan kehidupannya di Pulau Pinang dan juga barangan kepunyaan keluarga telah beberapa kali dibaik pulih.
Sementara itu, jurucakap Arkib Negara Negeri Pulau Pinang ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membaik pulih struktur itu pada Sabtu depan apabila pihak kontraktor telah dipanggil.
“Kerosakan pada atap siling di ruang tamu berlaku kerana cuaca berangin dan hujan di negeri ini sejak kebelakangan ini. Usaha membaik pulih akan dibuat segera,” katanya. – TVS