KUCHING, 27 Sept: Pihak majikan disaran lebih cakna dengan isu kesihatan mental agar dapat menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada kakitangan, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak, Tan Phang Chia.
Jelasnya, ia mengambil kira situasi pekerjaan masa kini yang semakin mencabar, ditambah dengan tekanan ekonomi pasca COVID-19 yang seterusnya turut menyumbang menjejaskan kesihatan mental.
Sehubungan itu, pihaknya mengambil langkah intervensi melalui Program Wellness Responder At Workplace (Power@Work) 2023 bagi membantu para majikan mengenal pasti kaedah bersesuaian mengurangkan tekanan mental di tempat kerja sekali gus mengelak penurunan tahap produktiviti pekerja.
“Kita melakukan program atau aktiviti ini sebab kita memahami bahawa masalah penyakit atau masalah mental itu satu perkara perlu dititikberatkan oleh semua pihak, bukan sahaja oleh pekerja sendiri tetapi para majikan juga,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan program berkenaan di Wisma Perkeso Negeri Sarawak di sini pada Isnin.
Kongsinya lagi, dari segi tuntutan perlindungan, pihaknya mendapati tiada peningkatan mendadak direkodkan melalui tuntutan pencen ilat atau melibatkan penyakit khidmat, namun Perkeso tetap menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi mereka yang memerlukan.
“Pada dasarnya kita harus memberikan perhatian kepada perkara ini sebab itulah kita mengadakan program ini kerana hendak mengambil tindakan pencegahan awal mendidik majikan bahawa perlunya satu individu atau unit ditubuhkan di kalangan majikan ini untuk memberikan perhatian kepada pekerja berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mungkin impaknya jadi lebih teruk sekiranya tidak dibendung daripada peringkat awal,” ujarnya.
Terdahulu seramai 18 pekerja dan 12 majikan dari Kuching dan Betong telah menyertai program dua hari itu.
Untuk makluman, setakat hari ini, Perkeso Sarawak telah menerima 601 rujukan luar dan 122 kes rujukan dalam bagi khidmat telesokongan emosi, kebanyakannya melibatkan isu psikologi, isu berkaitan kerja serta keresahan.
Para pekerja yang memerlukan perkhidmatan kaunseling secara panggilan telefon itu boleh menghubungi nombor 082-221666(617) bagi Zon Borneo. -TVS