KUCHING, 26 Sept: Sarawak Agrofest 2023 dilihat sebagai platform terbaik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mempromosikan produk masing – masing kepada pasaran yang lebih besar.
Usahawan PKS yang menyertai acara perniagaan tani ini percaya ia juga mampu membuka peluang bagi produk mereka menembusi pasaran luar.
Eksekutif perniagaan di Thian Yen Enterprise Sdn. Bhd, Pooh Siang Bo berkata, pengunjung telah membuka mata kepada kemampuan usahawan Sarawak menghasilkan makanan sejuk beku berkualiti.
“Sarawak Agrofest membuktikan kita mampu untuk menghasilkan produk berkualiti, setaraf dengan yang dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia,” katanya kepada TVS.

Ditanya mengenai pasaran produk syarikatnya, Siang Bo berkata, setakat ini mereka telah membekalkan makanan sejuk beku dan sos ke beberapa pasar raya termasuk Farley, Mydin, Everrise, Nutribest, Choice, Ta Kiong dan Borneo Supermarket.
Bagi eksekutif pentadbiran HFE Agro Resources Sdn. Bhd., Siti Mashanizan Dalahan pula, Sarawak Agrofest 2023 menjadi peluang terbaik untuk syarikat itu mempromosikan inovasi pertanian yang digunakan mereka.
“Syarikat kami menjual peralatan dan tanaman sistem fertigasi, hidroponik serta menawarkan kursus latihan sistem fertigasi di tapak pameran,” katanya.
Pengarah AB Group Trading Abraham Wong berkata, jualan aiskrim berperisa lada Sarawak oleh syarikatnya juga berjaya menarik perhatian pengunjung.

“Kami mahu memberi peluang kepada orang ramai untuk merasa aiskrim berperisa lada Sarawak serta mempromosi lada Sarawak,” katanya. – TVS