MUKAH, 26 Sept: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM670,000 untuk melaksanakan sekurang-kurangnya lima lagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek melibatkan naik taraf beberapa kemudahan termasuk dewan dan pusat sumber bagi kegunaan penduduk setempat.
Projek ialah naik taraf pusat sumber jawatan kuasa ketua kampung (JKKK) Kampung Sok, Dewan Kampung Bawang (Fasa Tiga), Pusat Sumber Kampung Tian (Fasa 3) dan baik pulih jeti nelayan di Kampung Kuala Matu Hulu.
“Pelaksanaan projek memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menikmati limpahan pembangunan hasil pendapatan Kerajaan Sarawak yang semakin meningkat.
“Sebenarnya masih banyak lagi projek yang sedang dalam proses penilaian pengurusan dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Jemoreng. InsyaAllah, kita akan mendapat setiap projek yang dipohon dan akan kita agihkan atas keperluan dan kemampuan kewangan yang diperuntukan,” katanya kepada TVS, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) berkesempatan melakukan tinjauan sambil menyaksikan penyerahan projek kepada kontraktor yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau mahu penduduk khususnya JKKK melakukan pemantauan ke atas projek yang dilaksanakan.
“Saya juga memohon agensi kerajaan agar sentiasa memantau kualiti projek yang dilaksanakan. Nasihat saya kepada kontraktor yang telah terpilih, laksanakan tugas dengan penuh amanah dan jujur, pastikan kualiti ditepati dan usahakan projek selesai dalam tempoh yang ditentukan,” katanya. – TVS