PUTRAJAYA, 26 Sept: Ternakan di dalam negara didapati bebas daripada penyakit Nipah, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.
DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan status itu adalah berdasarkan hasil survelan ke atas 399 sampel babi komersial sehingga Ogos lepas yang mendapati keputusan ujian adalah negatif.
Penyakit Nipah adalah disebabkan oleh jangkitan virus Nipah yang boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut, atau tisu dari haiwan yang terjangkit.
Menurut DVS, penyakit Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan dan kejadian itu menyebabkan kerugian besar bukan sahaja kepada penternak babi dan ekonomi negara malah, turut meragut 105 nyawa manusia.
“Usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi telah dijalankan ketika itu, dan pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas dari penyakit Nipah oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),” menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah melalui program survelan berkala dan penyakit Nipah disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1).
Menurut DVS survelan akan terus dijalankan untuk memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik, iaitu penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia itu, dapat dicegah daripada masuk ke dalam negara.
“Penternak babi adalah dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang (spesies keluarga kelawar) yang berkebolehan untuk menjadi perumah semulajadi virus Nipah,” menurut DVS. – TVS