KUCHING, 26 Sept: Persidangan Haiwan Asia Sarawak 2023 yang bakal dianjurkan pada 11 hingga 14 Oktober ini membawa tema ‘Education and Engagement Bring Change’ dijangka akan menjadi acara penting bagi penyokong, profesional, dan advokat kesejahteraan haiwan di seluruh benua.
Persidangan itu akan menampilkan pembentang utama yang juga mewakili Yayasan Animals Asia iaitu Dave Neale yang akan membentangkan topik ‘Importance of Understanding Animal Capacities for Welfare’ bagi mengetengah peranan penting pemahaman dalam memastikan kesejahteraan haiwan di seluruh Asia.
“Saya berharap melalui sesi ini, delegasi di Sarawak akan lebih memahami penggunaan mesej positif tentang kehidupan haiwan dan bagaimana ia dapat membantu orang untuk memahami haiwan secara individu serta bagaimana perilaku kita mempengaruhi kehidupan mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurutnya lagi, persidangan itu akan memberikan 30 mata Peningkatan Profesional Berterusan (CPD) untuk menyokong pertumbuhan profesional dalam bidang kesejahteraan haiwan.
Persidangan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak dengan sokongan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Business Events Sarawak (BESarawak) itu akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Peserta yang berminat boleh mengunjungi www.asiaforanimals.com/conference-2023 untuk maklumat lanjut dan bagi pendaftaran minit-minit akhir, boleh hubungi melalui emel operations@placeborneo.com. – TVS