BALIK PULAU, 25 Sept: Pasukan bomba membantu menyelamatkan seramai 40 murid sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini selepas premis itu dilanda banjir kilat hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10 pagi berhubung laporan sebuah premis Tadika dinaiki air sehingga paras betis dewasa.
Ujarnya, kejadian berlaku berikutan cuaca hujan sejak kira-kira pukul 7 pagi yang menyebabkan Tadika berkenaan dinaiki air ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Seramai 25 kanak-kanak lelaki dan 15 perempuan bersama tiga wanita dewasa (guru) dipindahkan ke tempat selamat.
“Limpahan air parit menyebabkan air naik ke atas jalan raya dan rumah setinggi kira-kira 0.6 meter,” katanya kepada pemberita hari ini.
Difahamkan, murid terbabit dipindahkan dengan bantuan sebuah trak pikap milik orang awam. – TVS