LIMBANG, 24 Sept: Kementerian Pendidikan perlu mengatasi masalah pembelajaran murid yang terjejas akibat beberapa sekolah kerap dilanda banjir di sini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, antara langkah yang sesuai dilaksanakan ialah menubuhkan sekolah berkelompok.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, beberapa sekolah sering dilanda banjir sehingga merosakkan harta benda.
“Sekolah yang terkesan termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, SK Telahak dan SK Tiga Kampung yang terletak di sepanjang Sungai Limbang dan perkara ini menjadi kebimbangan kita.
“Sehubungan itu, saya minta Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan sekolah berkelompok,” katanya.
Hasbi berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Buluh Balui di Batu Danau, di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri.
Berhubung cadangan itu, Hasbi berkata, perkara berkenaan telah disuarakan sejak beberapa tahun lepas.
“Sekolah ini mempunyai kemudahan pembelajaran yang lengkap berbanding membaiki kerosakan akibat banjir yang kerap berlaku sehingga menyebabkan pembaziran,” katanya. -TVS