Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kenangan ketika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di Sibu 11 September lalu. Foto Faitullah Morni (TVS)

‘Masih rindu, harap orang Borneo juga rindu orang Pahang’ – Agong

BERA, 23 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pengalaman sepanjang meyertai Kembara Kenali Borneo yang bermula pada awal bulan ini, masih meninggalkan kesan kepada Seri Paduka Baginda sekeluarga.

Kembara yang turut disertai Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu, menurut Seri Paduka Baginda hanya ‘dipenuhi pengalaman manis, tiada yang pahit dan semuanya berjalan elok’.

“Saya ingin ambil kesempatan… ini kali pertama saya berucap selepas 10 hari di kembara dan saya sekeluarga masih lagi ada perasaan rindu kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei dan sudah tentu juga (rindu) kepada Pahang.

“Kepada semua di Borneo, izinkan saya mengatakan bahawa walaupun jauh di mata, tapi tetap dekat di hati kita semua. Saya harapkan orang di sana juga, ada perasaan rindu kepada kita orang Pahang,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai di sini hari ini, yang kemudiannya dinamakan sebagai Jambatan Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut menzahirkan hasrat mahu menerbitkan buku dan membuat video semua pengalaman manis sepanjang kembara sejauh 2,154 kilometer yang menelusuri Lebuhraya Pan Borneo dari 3 hingga 13 Sept lepas.

Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan oleh Al-Sultan Abdullah sendiri merupakan kunjungan terakhir Seri Paduka Baginda ke Sabah dan Sarawak sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.

Mengaitkan kembara itu dengan perasmian Jambatan Guai, Al-Sultan Abdullah bertitah jambatan seharusnya menjadi medium yang menghubungkan silaturahim dan memanjangkan semangat ukhuwah serta menyatukan semua sebagai keluarga Malaysia yang harmoni. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan