KUCHING, 23 Sept: Maritim Malaysia menyertai International Seapower Symposium ke-25 (ISS-25) baru-baru ini di Naval War College, Rhode Island, Newport, Amerika Syarikat.
ISS-25 yang berlangsung pada 19 hingga semalam, 22 Sept itu telah dianjurkan oleh Pejabat Chief of Naval Operations, United States Navy.
Pemangku Ketua Pengarah Martim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penyertaan kali ini melibatkan ketua-ketua tentera laut daripada 82 negara dan ketua-ketua coastguard daripada 17 negara.
Menurutnya ISS merupakan platform kepada ketua-ketua tentera laut dan coastguard untuk mengkaji cabaran dalam bidang keselamatan maritim sekaligus mengukuhkan kerjasama antara negara.
Selain itu Saiful memberitahu ISS-25 merupakan peluang bagi pihaknya mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Commandant United States Coastguard (USCG), Admiral Linda Fagan bagi mengupas pelbagai perkara penting berkaitan keselamatan dan keamanan maritim serantau serta memperkukuh dan mengeratkan hubungan kerjasama strategik yang sedia terjalin.
Untuk rekod, penglibatan julung kali Maritim Malaysia menerusi undangan daripada US Navy dan US Coast Guard pada tahun ini telah melonjakkan imej positif Maritim Malaysia di persada dunia seterusnya menjadi satu pengikhtirafan kepada Malaysia yang telah mempunyai agensi coastguard sendiri. -TVS