Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin merakam kenangan selepas sesi penanaman pokok 'Adopt A Tree' pada Program ‘From Seeding To Sustainability’ di Universiti Curtin pada hari ini. Foto: TVS.

Udara lebih sihat, Sarawak sasar jadi negeri digemari untuk dikunjung – Lee

MIRI, 22 Sept: Kerajaan negeri mensasarkan agar Sarawak memiliki udara yang lebih sihat agar akan menjadi negeri yang digemari oleh para pengunjungnya, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurutnya inisiatif itu diyakini digerakkan menerusi tumpuan kerajaan terhadap tenaga hijau dengan penggunaan hidrogen dalam pengangkutan awam seperti bas hidrogen dan transit awam autonomi pada masa akan datang.

Lee menambah situasi berikut akan menjadikan Sarawak sebagai tempat yang lebih sihat untuk didiami sekali gus selari dengan fokus utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030) untuk alam sekitar yang mampan.

“Kerajaan Sarawak memberi penekanan yang kuat kepada fokus utama terhadap Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) terhadap alam sekitar yang mampan.

“Itulah sebabnya kita memberi tumpuan kepada tenaga hijau. Kita memulakan pengangkutan awam seperti bas hidrogen dan kini kita melakukan Bukti Konsep (POC) dengan apa yang kita perlukan untuk transit awam autonomi yang juga menggunakan hidrogen supaya pada masa hadapan, kita akan lebih memfokuskan pada tenaga hijau dan mengurangkan karbon dioksida (CO2) secara serius.

“Kita mahu menjadikan Sarawak tempat yang semua orang gemar datang ke sini kerana banyak oksigen dan lebih sihat,” katanya demikian semasa merasmikan Program ‘From Seeding To Sustainability’ di Universiti Curtin pada hari ini.

Selain itu, Sarawak juga mengadakan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan perdagangan karbon dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon selain memberi sumber pendapatan baru kepada negeri.

“Kita boleh katakan di Sarawak, ada penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan perdagangan karbon. Maknanya kita perlu mengurangkan paras CO2 dan banyak oksigen yang boleh kita eksport.

“Orang boleh membeli oksigen daripada kita dan ini boleh menjadi sumber pendapatan bagi Sarawak.

“Kita telah memberi mandat kepada undang-undang kita supaya mereka yang ingin menyimpan CO2 di sini dalam takungan yang kita telah mengeluarkan minyak dan gas. Untuk tempat simpanan itu, kita juga boleh memperolehi pendapatan daripadanya,” katanya lagi.

Program anjuran Kelab Perakaunan dan Kelab Leo dari Universiti Curtin dengan kerjasama Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CAANZ) merupakan usaha untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat bahawa setiap orang boleh bertindak bersama dalam mengatasi perubahan iklim dan memupuk kehidupan mampan.

Sebanyak 15 pokok tecoma yang telah ditanam semasa sesi ‘Adopt A Tree’ selepas program tersebut bersebelahan dengan kawasan perumahan pelajar di Universiti Curtin Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan