MIRI, 22 Sept: Guru berperanan penting dalam menerapkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar bagi membentuk generasi yang berfikiran masa hadapan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ilmu mengenai alam sekitar bukan sahaja memberi kesedaran terhadap isu-isu alam sekitar, malah dapat membentuk sikap positif.
“Guru-guru bukan hanya membentuk pemikiran generasi masa depan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan kesedaran terhadap isu-isu alam sekitar dalam kalangan pelajar.
“Fakta-fakta alam semula jadi yang disampaikan kepada anak-anak di sekolah juga mampu membentuk sikap dan nilai-nilai yang menghasilkan tindakan positif dalam kalangan pelajar,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar untuk Guru Penasihat Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Siri 2/2023 di sini, semalam.
Tambahnya, syarikat korporat juga diseru bekerjasama dengan kerajaan dan pendidik dalam usaha membentuk masyarakat mesra alam dengan lebih berkesan.
“Saya mengambil kesempatan ini menyeru pihak korporat yang lain agar dapat menyediakan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) melaksanakan aktiviti, program dan projek alam sekitar kepada segenap lapisan masyarakat di Sarawak.
“Dengan adanya kolaborasi pelbagai pihak antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), para pendidik dan masyarakat, matlamat kita untuk membentuk masyarakat yang mesra alam akan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” ujarnya lagi.
Program Bengkel Pendidikan Alam Sekitar anjuran NREB dengan kerjasama SEB diadakan pada 18 hingga 21 September dengan penyertaan seramai 75 orang guru penasihat Kelab PALS dari 13 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari daerah Miri, Subis, Baram, Limbang, Lawas, Bintulu, Tatau/Sebauh, Belaga, Mukah, Dalat, Daro, Kuching dan Simunjan.
Bengkel ini bertujuan memantapkan kemahiran dan penyampaian pendidikan alam sekitar guru penasihat Kelab PALS yang belum pernah mengikuti bengkel yang dianjurkan sebelum ini dan mendapatkan maklum balas daripada para guru tentang pelaksanaan Kelab PALS di sekolah bagi merancang dan melaksanakan aktiviti alam sekitar dengan berkesan. – TVS