Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pecah Tanah Rosmari-Marjoram Onshore Gas Plant. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Sarawak labur lebih RM10 bilion jadikan Bintulu hab gas – Abang Johari

BySalasiah Safian

BINTULU, 21 Sept: Kerajaan Sarawak telah menyuntik pelaburan melebihi RM10 bilion dalam usaha untuk menjadikan Bintulu sebagai hab gas masam, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, projek berkenaan meliputi pembangunan Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) di Tanjung Kidurong.

Sarawak labur lebih RM10 bilion bangunkan hub gas masam | TVS

Kata beliau, projek di Taman Perindustrian Petrokimia (PIP) itu selaras dengan hasrat Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

“Gas masam dahulunya dianggap tidak menguntungkan kerana proses menerokanya menelan kos tinggi namun dengan teknologi baharu yang digunakan, kos dapat dikurangkan dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rosmari-Marjoram Onshore Gas Plant di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman dan Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan.

Sebelum ini, Sarawak Shell Berhad (SSB), anak syarikat Shell bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd bersetuju untuk membangunkan projek gas Rosmari-Marjoram yang terletak 220 kilometer di luar pantai Bintulu.

Pembangunan Rosmari-Marjoram merupakan projek strategik untuk memastikan bekalan gas yang berterusan ke Kompleks LNG PETRONAS serta direka untuk menghasilkan 800 juta kaki padu gas standard sehari (MMscf/d) dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2026.

Sementara itu, Abang Johari yakin dasar laut pelantar benua Sarawak masih mempunyai rizab gas yang besar walaupun kajian mendapati gas Sarawak hanya boleh bertahan selama 20 tahun lagi.

“Sudah lebih 30 tahun berlalu, semakin banyak medan minyak dan gas ditemukan di luar pesisir Sarawak, yang terbaru ialah enam medan di lima blok – SK306, SK411, SK313, SK301B dan SK315,” tambahnya.

Sementara itu Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, sejak 2019, pendapatan Sarawak melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berjumlah RM13 bilion dan bukannya 5 peratus royalti seperti biasa yang diterima untuk minyak dan gas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan