BINTULU, 21 Sept: Operasi di platform projek gas Rosmari-Marjoram di sini akan dilaksanakan menggunakan tenaga solar bagi memastikan pergantungan sepenuhnya kepada kuasa hidroelektrik bersih, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, ini selaras dengan polisi Kerajaan Sarawak yang menekankan pembangunan ekonomi tidak boleh mengancam alam sekitar.
“Sarawak akan meneruskan usaha ke arah pembangunan yang mampan kerana tenaga hijau mempunyai peranan penting dalam menjana ekonomi kita bukan sahaja menjelang 2030 tetapi juga bagi tahun – tahun berikutnya.
“Saya gembira mengetahui platform Rosmari-Marjoram akan bergantung kepada tenaga solar daripada sistem grid Sarawak Energy Berhad yang diperakui oleh Renewable Energy Certificates (RECs),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rosmari-Marjoram Onshore Gas Plant di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman dan Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan.
Sebelum ini, Sarawak Shell Berhad (SSB), anak syarikat Shell bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd bersetuju untuk membangunkan projek gas Rosmari-Marjoram yang terletak 220 kilometer di luar pantai Bintulu.
Pembangunan Rosmari-Marjoram merupakan projek strategik untuk memastikan bekalan gas yang berterusan ke Kompleks LNG PETRONAS serta direka untuk menghasilkan 800 juta kaki padu gas standard sehari (MMscf/d) dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2026.
Sementara itu, Abang Johari turut mengalu – alukan kerjasama Shell dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam kajian biodiversiti.
“(Saya juga tertarik) dengan usaha Shell yang bekerjasama dengan Sarawak Forestry Coorperation setelah mengambil kira pengoperasian Rosmari-Marjoram offshore yang berada di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai taman marin negara.
“Perkara ini harus dijadikan sebagai contoh dalam usaha memelihara alam sekitar,” katanya. -TVS