KUCHING, 21 Sept: Festival Kuih Bulan Antara Budaya mampu mengukuhkan lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival tersebut melambangkan perpaduan dan ikatan kekeluargaan rakyat Sarawak.
Ujarnya, walaupun perayaan itu adalah sebahagian daripada budaya Cina, namun ia turut disambut oleh kaum lain.
“Walaupun Perayaan Kuih Bulan merupakan kebudayaan kaum Cina tetapi kerana kepelbagaian masyarakat yang kita ada, perayaan itu turut melibatkan masyarakat etnik lain,” ujarnya ketika merasmikan festival itu di sini, malam tadi.
Tambahnya lagi, penganjuran festival seperti ini juga mampu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Justeru itu, beliau berharap lebih banyak festival boleh diadakan di Kuching bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan tempatan, khususnya acara yang menggalakkan keharmonian kaum.
Kuih Bulan merupakan perayaan hasil pertanian yang disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan kalendar Cina, iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September.
Festival Kuih Bulan Antara Budaya dianjurkan Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching di Carpenter Street, bermula 20 sehingga 29 September. – TVS