Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. Foto: Bernama

Malaysia dan Turkiye sepakat tangani ancaman Islamofobia

ByBernama

NEW YORK, 21 Sept: Malaysia dan Turkiye mencapai kesepakatan untuk menangani ancaman Islamofobia dan perkauman menerusi pelbagai langkah yang sedang dan akan dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bersetuju mempertingkatkan usaha kerjasama dan strategi mengekang bagi gerakan membenci Islam oleh pihak tertentu yang berpusat di serata dunia.

“Kita membincangkan sikap prasangka melampau terhadap apa juga Islam di barat dan negara lain. Dalam pertemuan saya dengan Presiden Erdogan, kami bersetuju meningkatkan usaha ke arah kerjasama dan strategi mengatasai masalah sedemikian,” kata Perdana Menteri pada satu sidang media.

Kedua-dua pemimpin yang hadir di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala di Turkish House di sini, hari ini.

Menurut Anwar, Turkiye akan melaksanakan strategi berkenaan di lokasi kegiatan yang berpusat di Eropah dan Timur Tengah, manakala Malaysia bertumpu di rantau Asia.

“Ada beberapa siri persidangan telah dianjurkan sebelum ini dan akan diteruskan. Perbincangan lanjut mengenai usaha menangani Islamofobia ini akan diteruskan semasa Erdogan melawat Malaysia Disember ini,” katanya.

Anwar berkata selain persidangan dan penerangan, penerbitan untuk menjawab prasangka dan sikap melampau terhadap Islam kepada masyarakat dunia juga akan turut dibuat, antaranya penerbitan lebih 100,000 naskah al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Usaha ini katanya termasuk 15,000 naskah terjemahan kitab suci itu ke dalam bahasa Sweden yang telah dihantar ke negara berkenaan. Ia disebarkan ke pusat pengajian, universiti dan masjid. Naskah terjemahan al-Quran juga dihantar ke Australia, Amerika Syarikat dan negara lain.

Selepas pertemuan lebih 30 minit itu, kedua-dua pemimpin turut mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai “Increasing Hatred, Intolerance, Discrimination and Acts of Violence Against Muslims and Their Sanctities.”

Dalam kenyataan itu, Anwar dan Erdogan menyatakan kebimbangan mengenai ancaman Islamofobia yang semakin berleluasa, pembakaran al-Quran di beberapa negara Eropah dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan di seluruh dunia meningkatkan usaha ke arah mewujudkan toleransi agama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan