MULU, 20 Sept: Taman Negara Mulu kini mempunyai Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) yang terlatih untuk melakukan misi di kawasan pergunungan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, operasi MOSCAR di sini sejajar dengan kedudukan Taman Negara Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Kewujudan MOSCAR di sini penting untuk melindungi keselamatan pelancong yang melawat gunung dan gua di Taman Negara Mulu.
“Tempat pelancongan yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan pasukan terlatih untuk misi mencari dan menyelamat kerana kita tahu ramai pelancong datang ke sini untuk mendaki gunung dan perjalanan ke puncak mempunyai risikonya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutupan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) Siri 4/2023 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman @ Hussaini.
Mengulas lanjut, Gerawat berkata, beliau melihat anggota bomba yang terlibat dengan MOSCAR memiliki keunikan dalam penugasan mereka.
“Oleh itu saya ingin berterima kasih kepada JBPM Sarawak yang mengambil inisiatif ini untuk memberi perlindungan kepada pelancong yang datang ke Mulu,” katanya.
Sementara itu, Khirudin berkata, program itu dianjurkan selama dua minggu bermula pada 21 Ogos sehingga 5 September yang melibatkan penyertaan 11 pegawai bomba.
“Program kursus pentauliahan pertama telah diadakan pada 2019 dengan 10 pegawai bomba dan kini terdapat 21 pegawai pasukan bomba MOCSAR di Mulu,” katanya. -TVS