KUCHING, 20 Sept: Kemarau kemenangan Kuching City FC selama tujuh bulan dalam saingan bola sepak tempatan berakhir malam tadi di Stadium Negeri Sarawak.
Kejayaan itu hadir selepas The Cat mengecewakan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam Piala Cabaran MLF 2023 dengan keputusan 1-0.
Ini menyaksikan ketua jurulatih baharu Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berjaya mengecewakan bekas pasukannya selama empat musim.
Penolong Ketua Jurulatih Kuching City FC, Firdaus Morshidi berkata, segala percaturan yang dirancang membuahkan hasil walaupun mereka membawa bekalan tipis ke Alor Setar untuk perlawanan timbal balik.
“Alhamdulilah setelah sekian lama tidak menang selepas kali terakhir pada Febuari lepas, ini menjadi motivasi kepada pasukan.
“Kredit harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka beraksi sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Aksi malam tadi menyaksikan Abu Kamara muncul sebagai wira pasukan apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-85.
KDA FC yang dibimbing Nafuzi Zain akan menerima kunjungan Kuching City FC pada 4 Oktober depan di Stadium Darul Aman, Alor Setar. – TVS