KUCHING, 20 Sept: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) terus komited memajukan bidang pertanian terutama melibatkan ahli-ahli peladang sejajar dengan sasaran Kerajaan Sarawak untuk mencapai pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan bagi setiap keluarga tani menjelang tahun 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, PPNS harus fokus pada pemasaran dan berkolaborasi dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Menurutnya, PPNS memainkan peranan yang penting dalam memastikan pemasaran yang produktif untuk memajukan bidang pertanian Sarawak.
“PPNS akan memfokuskan hal ehwal pemasaran dan kita juga perlu menjalinkan kerjasama dengan PPK untuk meningkatkan pendapatan. Jadi kita perlu menjadi lebih produktif lagi agar dapat menghasilkan keuntungan yang lebih banyak.
“Jangan lakukan pertanian yang tidak mendatangkan keuntungan. Jika mahu mendapat pulangan yang lebih banyak, kita perlukan sistem seperti melakukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 PPNS 2023 di sini, semalam.
Ujar beliau lagi, semua ahli pertubuhan peladang kawasan harus mendaftar dan mengemaskini maklumat bagi memudahkan pemantauan dalam bidang yang dilakukan bersesuaian dengan teknologi terkini.
“Semua ahli pertubuhan peladang perlu mendaftar di Etani bagi mengemaskini maklumat para petani. Sektor pertanian di Sarawak ini juga perlu maju seiring dengan perkembangan teknologi yang baharu agar dapat meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian dengan kualiti yang baik. Oleh itu, kita perlu belajar dan mengubah minda kita bagi memajukan sektor pertanian di Sarawak ini,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian program kecemerlangan pelajaran negeri Sarawak tahun 2023 berjumlah RM28,000, penyampaian wakalah zakat kepada pertubuhan peladang di Sarawak sebanyak RM159,096.84 serta penyampaian sumbangan pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPNS tahun 2023 bernilai RM7,985.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) merangkap Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dato’ Zamri Yaakob serta Pengurus Besar PPNS, Gom Raway.
Untuk rekod, seramai 175 para perwakilan yang mewakili 177,000 ahli peladang daripada 28 PPK akan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PPNS pada kali ini. – TVS