Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan

Edar dadah: Ahli perniagaan terlepas tali gantung, dipenjara seumur hidup

ByBernama

PUTRAJAYA, 19 Sept: Seorang ahli perniagaan dalam talian terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup kerana mengedar 971.6 gram Methamphetamine.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais.

Panel tersebut mengesahkan sabitan Bukhti Shukran Abdul Rahman kerana mengedar dadar.

Dalam keputusan itu Tengku Maimun bagaimanapun berkata, susulan pindaan terkini Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka menggunakan budi bicara untuk menggantikan hukuman mati dengan penjara seumur umur.

Beliau turut mengarahkan Bukti Shukran, 38, dikenakan 12 sebatan.

Pada 16 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap Bukhti Shukran dan dua mekanik kerana mengedar dadah di tempat letak kereta Aeon Big di Bukit Rimau di Shah Alam, Selangor kira-kira 6.20 petang pada 7 Ogos, 2017.

Mahkamah Rayuan, pada 28 Februari tahun lepas, mengekalkan sabitan hukuman mati Bukhti Shukran atas pertuduhan itu, tetapi melepas dan membebaskan Saiful Adly Zakaria, 41 dan Azrul Alias, 37.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan kedua-dua lelaki itu.

Mengikut fakta kes, Mohd Bukhti memandu keretanya dari Telok Panglima Garang di Kuala Selangor ke sebuah bengkel di Bandar Sunway untuk membaiki keretanya.

Dalam keterangannya, Mohd Bukhti berkata, dia ke Aeon Big untuk bertemu dengan seorang yang dikenali sebagai “Boy” untuk mengambil alat ganti keretanya.

Ketiga-tiga lelaki pergi ke tempat itu dengan kereta yang dipandu Mohd Bukhti dan sebaik tiba, sepasukan polis menggeledah kereta berkenaan dan menemukan sebuah kotak berisi dadah tersebut di tempat duduk penumpang belakang.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Moin mewakili ketiga-tiga lelaki itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pendakwaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan