Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut pada Ogos 2023, meningkat 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM17.31 bilion. Foto hiasan: Envato.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat kepada RM17.31 bilion pada Ogos

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut pada Ogos 2023, meningkat 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM17.31 bilion.

Bagaimanapun, jumlah perdagangan susut 19.8 peratus kepada RM213.01 bilion berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.

“Eksport turun 18.6 peratus kepada RM115.16 bilion dan import susut sebanyak 21.2 peratus kepada RM97.85 bilion,” menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Selasa.

MITI menjelaskan prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Korea Selatan, China, Taiwan dan Indonesia apabila masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Ogos 2023 serta penyusutan dalam import global.

“Berbanding Julai 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menguncup sebanyak 1.5 peratus, 1.4 peratus, 1.6 peratus dan 0.3 peratus,” tambahnya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, perdagangan berkurangan sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.718 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Eksport menguncup 7.6 peratus kepada RM935.22 bilion, import menyusut 8.6 peratus kepada RM782.29 bilion dan lebihan dagangan turun dua peratus kepada RM152.92 bilion,” menurutnya.

MITI menjelaskan pada Ogos 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.4 peratus atau RM98.36 bilion daripada jumlah eksport, turun sebanyak 17.7 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran Petroleum serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

“Sementara itu, pertumbuhan eksport dicatatkan bagi barangan kertas dan pulpa serta barangan makanan diproses,” tambahnya.

Eksport hasil galian (7.3 peratus syer) menyusut 23.1 peratus tahun ke tahun kepada RM8.46 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport Gas Asli Cecair (LNG) dan Petroleum mentah.

Sementara itu, pada Ogos 2023, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 27.9 peratus atau RM59.46 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, turun sebanyak 16.3 peratus tahun ke tahun.

“Eksport berkurangan 20.6 peratus kepada RM33.48 bilion berikutan penurunan eksport keluaran Petroleum dan barangan E&E,” jelasnya.

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan dua digit adalah Vietnam yang meningkat sebanyak RM825.7 juta, dan Filipina yang naik sebanyak RM333.8 juta, masing-masing disokong oleh pertambahan eksport keluaran Petroleum, menurut MITI.

Perdagangan dengan China pada Ogos yang menyerap 16.7 peratus atau RM35.65 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, kurang sebanyak 18.7 peratus tahun ke tahun manakala eksport ke China merosot 20.3 peratus kepada RM14.72 bilion berikutan penurunan eksport barangan E&E dan LNG.

“Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2023 yang merangkumi 9.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, kurang 15.7 peratus tahun ke tahun kepada RM20.68 bilion,” menurutnya.

Eksport menyusut sebanyak 9.7 peratus kepada RM13.52 bilion berikutan permintaan yang lebih rendah bagi barangan E&E dan keluaran Petroleum. Bagaimanapun, pertambahan eksport telah dicatatkan bagi barangan besi dan keluli serta kimia dan bahan kimia. Import dari AS menurun 25.1% kepada RM7.16 bilion.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) pada Ogos pula menyumbang 8.2 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, menokok 0.6 peratus tahun ke tahun kepada RM17.49 bilion.

Perdagangan dengan Jepun pula yang merangkumi 5.9 peratus atau RM12.62 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, susut 25.7 peratus tahun ke tahun.

“Pada Ogos 2023, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 67.5 peratus atau RM143.71 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, turun sebanyak 17.7 peratus tahun ke tahun.

“Eksport ke rakan dagang FTA menguncup 18.6 peratus kepada RM79.47 bilion dan import berkurangan sebanyak 16.6 peratus kepada RM64.24 bilion,” tambahnya.

Menurut MITI, jumlah import pada Ogos 2023 susut 21.2 peratus tahun ke tahun kepada RM97.85 bilion.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir, yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barangan pengantara, bernilai RM51.45 bilion atau 52.6 peratus daripada jumlah import, menyusut 22.6 peratus tahun ke tahun, berikutan penurunan import bahan api dan pelincir diproses.

Selain itu barangan modal, bernilai RM10.71 bilion atau 10.9 peratus daripada jumlah import, mengembang sebanyak 5.4 peratus, disebabkan oleh kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan.

Manakala barangan penggunaan, bernilai RM8.53 bilion atau 8.7 peratus daripada jumlah import, menguncup 5.4 peratus, dipacu oleh pengurangan import barang tidak tahan lama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan