KUALA LUMPUR, 19 Sept: Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional dianggarkan RM33.30 bilion dan RM18.89 bilion dalam dana Islam.
Hari ini, bank pusat akan menjalankan dua tender pasaran wang konvensional, terdiri daripada tender RM1 bilion untuk tempoh tujuh hari dan tender RM500 juta selama 14 hari, serta tender Qard RM500 juta berjangka masa tujuh hari.
Ia juga akan mengendalikan dua tender repo berbalik iaitu tender RM1.5 bilion (30 hari) dan tender RM500 juta (91 hari) serta menerbitkan tender RM2 bilion Bil Islam Antara Bank Bank Negara (BNIBI) bertempoh 32 hari pada 21 Sept.
Selain itu, BNM mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula dan kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan.
Pada 4 petang, ia akan menawarkan sehingga RM33.8 bilion tender semalaman konvensional dan RM18.4 bilion untuk tender semalaman Murabahah. – TVS