BINTANGOR, 19 Sept: Penglibatan semua pihak termasuk kerjasama antara agensi sangat penting untuk mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tindakan pantas agensi pelaksana dapat memastikan projek yang dirancang siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Berdasarkan contoh pelaksanaan projek RTP di Meradong, Kuong Hiing berkata setakat ini, semua projek berjalan lancar hasil kerjasama baik semua pihak termasuk agensi yang bertanggungjawab mengendalikannya.
“Ini adalah hasil komitmen tinggi agensi pelaksana dan kerjasama baik penduduk. Setakat ini, saya berpuas hati dengan perkembangannya (projek rakyat),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Ringkas Penyerahan Tapak Projek RTP DUN Meradong Tahun 2023 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei, pada petang semalam.
Projek itu ialah naik taraf prasarana jalan Rumah Badindang Sungai Selidap bernilai RM 100,000, naik taraf pagar Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Nam Kiew, Sungai Kedup (RM 50,000) dan jalan utama ke SJKC Kung Cheng Sungai Mador yang berharga RM 85,000.
Penyerahan projek disempurnakan Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) bahagian Sarikei kepada Kontraktor yang telah dilantik melalui cabutan undi di bawah seliaan JKR.
Pelaksanaan kesemua projek terbaharu itu bermula 11 September lalu dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan.
“RTP membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pembangunan di kawasan luar bandar sekali gus menyerlahkan keprihatinan terhadap masalah rakyat,” katanya. – TVS