Miri, 18 Jun – Dua bot pancung telah ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Miri pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari Muara Sungai Miri.
Kedua-dua bot itu dikesan sekitar jam 9:30 pagi oleh aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Miri.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md. Fauzi Othman berkata dalam satu kenyataan, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kedua-dua bot pancung itu mendapati bot tersebut dikendalikan lima kru lelaki disyaki warga asing kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
Kedua-dua bot bersama lima lelaki tersebut dan peralatan memancing dibawa ke Jeti Marina Bay Miri untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.