BINTULU, 18 Sept: Sarawak berhasrat menjadi kawasan pertama di Asia Tenggara dalam penghasilan ammonia biru yang diguna pakai untuk sektor perindustrian termasuk dieksport ke luar negara.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penghasilan ammonia biru itu kelak akan dikendali Petchem Sarawak yang akan menjadi salah satu jana kuasa terpenting bagi menggantikan arang batu.
“Sekiranya impian ini dapat direalisasikan, Sarawak mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam sektor petrokimia sekali gus menjadi pembekal utama ammonia biru, sama ada sektor perindustrian tempatan atau luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Fasiliti Jualan Gas Tambahan PETRONAS Bintulu 2 (BAGSF-2) bertempat di tapak projek BAGSF-2 di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.
Tambahnya, bekalan gas yang mencukupi di Sarawak dapat menghasilkan ammonia biru dalam jumlah yang banyak yang secara tidak langsung mampu memenuhi permintaan terhadap bahan api terbabit.
Beliau berharap, perjanjian bekalan gas kepada projek tersebut dapat dimeterai dalam masa terdekat agar ia dilaksanakan dengan segera.
“Sehubungan itu, saya meminta agar Sarawak Petchem menerokai peluang kerjasama dengan pihak berkaitan bagi merealisasikan projek penghasilan ammonia biru,” ujarnya. – TVS