KUALA LUMPUR, 18 Sept: Pelaksanaan perkhidmatan bas luar bandar di Sarawak adalah tertakluk kepada hasil dapatan kajian rintis yang dijalankan di Samarahan dan Santubong yang akan dibentang menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hasil dapatan itu kemudiaannya akan diangkat untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi bagi pengurusan bajet.
“Kementerian melihat pelaksanaan perkhidmatan bas luar bandar Samarahan dan Santubong ini sebagai potensi untuk turut diperluas di Parlimen lain di Sarawak,” katanya pada Sesi Penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, hari ini.
Beliau menjawab persoalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkaitan perluasan perkhidmatan bas henti-henti MARALiner di Sarawak termasuk kawasan Parlimen itu.
Untuk rekod, kajian Perkhidmatan Bas MARAliner di Sarawak sedang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan bagi melihat kebolehlaksanaan dan keperluan pengoperasian secara menyeluruh. -TVS