KUCHING, 18 Sept: Perkahwinan campur seringkali dijadikan model dalam memaknai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Di Sarawak mahupun Sabah, perkahwinan campur dalam masyarakat pelbagai kaum bukan lagi satu fenomena baharu, bahkan ia menjadi cerminan kepada asimilasi yang padu apabila penyatuan ini diterima dengan mudah oleh keluarga pasangan kedua belah pihak.
Berkongsi pengalaman mereka, pasangan Nur Afiqah Kamaluddin, 31, dan Muhammad Hafeez Bakram, 32, berkata, urusan pertemuan dengan kedua keluarga terjadi dengan begitu mudah dan lancar sekali sehingga tidak menyangka akan membawa hubungan tersebut ke langkah seterusnya.
“Dua minggu sebelum bertunang, mak saya tiba-tiba bertanya khabar Hafeez dan kebetulan ibu bapa Hafeez juga bertanya perkara yang sama. ‘Timing’ seolah-olah sangat sesuai untuk kami dan kami bertunang dalam masa dua minggu selepas perjumpaan pertama bersama keluarga,” kata Afiqah.
Bagi wanita Sarawak berdarah kacukan Melayu, Cina dan India itu, jarak dan asal usul tidak menjadi masalah sama sekali bagi keluarganya apabila pertama kali memperkenalkan Hafeez yang berdarah kacukan Sulu dan Kadazan dari Sabah itu.
Begitu juga bagi Hafeez yang selesa berkomunikasi dalam bahasa Sarawak ketika ditemui wartawan TVS baru-baru ini.
- Nur Afiqah Kamaluddin dan Muhammad Hafeez Bakram ketika ditemui wartawan TVS baru-baru ini. Foto: TVS
Dia berkata, tidak susah baginya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Sarawak memandangkan pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Samarahan selama tiga tahun bermula 2010.
“Saya banyak belajar daripada kawan-kawan masa belajar di UiTM Kota Samarahan sebelum ini. Jadi, Alhamdulillah, sekarang saya senang bergaul dengan orang Sarawak,” jelas Hafeez.
Ditanya mengenai perbezaan adat dan budaya dalam keluarga masing-masing, Afiqah teruja berkongsi perbezaan adat dalam majlis persandingan mereka yang baharu sahaja selesai sebulan yang lepas, di kedua buah tempat.
“Di Sarawak ini terkenal dengan kain Keringkam dan yang kedua ialah adat makan Nasi Temuan. Waktu itu Hafeez masih keliru di atas pentas (pelamin), jadi saya terus terangkan kepadanya.
“Tapi semasa bersanding di Kota Kinabalu, mereka lebih kepada kemeriahan menari. Kami berdua diminta untuk menari tarian Melayu, tarian Dusun bersama mereka,” ujarnya.
Mengiyakan kenyataan isterinya, Hafeez turut berkongsi kemeriahan majlis bagi suku kaum Sulu dan Kadazan di Sandakan Sabah yang berlangsung dari pagi sehingga ke malam.
“Majlis kahwin di Sabah kebanyakannya ada yang bermula dari pagi sampai ke malam, terus menerus. Aktiviti yang dilakukan ialah nikah dan sanding sampai ke malam, pengantin akan bertukar persalinan pakaian sehingga empat kali,” ujar Hafeez pula.
Menurut pasangan ini, perbezaan menarik ini tidak seharusnya menjadi halangan dalam sesebuah perhubungan sungguhpun banyak yang harus dipelajari.
Tambah pasangan ini, rakyat Malaysia secara amnya disaran untuk tidak terlalu memikirkan perbezaan yang wujud daripada kepelbagaian bangsa dan yang lebih penting ialah memahami nilai toleransi dan perpaduan yang terjalin.
Nikmat perpaduan ini, jelas mereka, merupakan anugerah istimewa bagi rakyat Malaysia dalam menghayati makna sambutan 16 September.
“Sama-samalah kita memupuk perasaan sayang kepada negara dan kurangkanlah perasaan yang tidak menentu di dalam hati kita sebab kita semua di dalam satu Malaysia, tidak kira bangsa atau agama yang berbeza, kita semua sama.
“Selamat Hari Malaysia yang ke-66 kepada seluruh rakyat Malaysia, semoga negara kita sentiasa maju, aman makmur dan cemerlang sentiasa,” ujar mereka. – TVS