BUKIT MERTAJAM, 17 Sept: Seorang wanita berasal dari Sarawak teruja apabila bayi perempuannya lahir pada Hari Malaysia di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam di sini, semalam.
Bayi comel itu lahir secara normal pada pukul 1.24 petang di Hospital Pakar KPJ Penang.
Ibu bayi, Janet Simon, 30, berkata, dia sepatutnya dijangkakan melahirkan anak keduanya itu pada 26 September depan.
“Namun, naluri saya kuat menyatakan akan bersalin pada Hari Malaysia walaupun tidak menjangkakannya.
“Saya bangga melahirkannya pada hari ini kerana mengingatkan kepada sejarah pembentukan Malaysia yang signifikan dengan tempat kelahiran saya,” katanya yang menetap di Semenanjung bersama suami sejak tiga tahun lalu.
Untuk rekod, Hospital KPJ Penang mempunyai lima pakar perbidanan dan sakit puan serta lima pakar kanak-kanak. – TVS