KUCHING, 17 Sept: Larian Malaysia Day Community Fun Run 2023 disertai kira-kira 1,200 peserta diadakan di Farley Kuching Sentral di sini, seawal jam 5 pagi tadi bukan sekadar acara larian biasa, tetapi bertujuan mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat, selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, MBKS sentiasa bersedia untuk menyokong apa jua acara serta agensi berkaitan, untuk memelihara perpaduan yang telah lama wujud di Sarawak.
“Untuk meneruskan perpaduan di negara ini bukan kerja yang mudah. Oleh itu, pentingnya bagi pihak kami untuk menitikberatkan penglibatan masyarakat.
“Ini (acara larian) yang kita perlukan. Peserta dari pelbagai kaum berkumpul, berlari bersama, berjalan bersama, makan bersama dan sudah tentu bermain bersama. Jadi inilah semangatnya. Oleh itu, kita perlu kekalkan semangat ini dan kurangkan berpolitik,” katanya yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai melaksanakan Majlis ‘Flag-Off’ bagi Malaysia Day Community Fun Run 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman, Pengerusi Yayasan Farley, Eijing Lau serta Pengarah Urusan Farley, Lau Siew Whye.
Sementara itu, rata-rata peserta memberi reaksi positif terhadap acara tersebut.
Berkongsi cerita, Chim Chia Hock, 27, berkata, dirinya mendapat tahu mengenai acara itu menerusi rakannya dan mencari maklumat berkenaan acara itu di laman media sosial.
“Acara ini sangat menarik dan pada pendapat saya, acara ini dilaksanakan dengan teratur dan pemilihan kawasannya juga adalah strategik untuk menerima peserta yang ramai.
Bagi adik-beradik Cynthia Bong dan Cathy Bong pula, mereka berkata, setelah mengetahui mengenai acara ini, mereka membuat keputusan untuk menyertainya, bersama lima lagi adik-beradik mereka yang lain.
“Kalau acara ini dianjurkan semula lain kali, kami mahu menyertainya lagi,” kata Cathy.
Malaysia Day Community Fun Run 2023 merupakan penganjuran bersama Yayasan Farley dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPM).
Selain acara larian 5 kilometer (KM), pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya pameran dan demonstrasi bomba, demonstrasi canine serta cabutan bertuah.
Peserta larian turut dihadiahkan ‘rotating medals’ dan bagi peserta yang mendapat ‘Top 10 Male’ dan ‘Top 10 Female’ pula akan diberikan baucher bernilai dari RM100 hingga RM800.- TVS