Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara persembahan kebudayaan tarian tiga wilayah yang dipersembahkan pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan hari ini. Foto: Bernama

Hari Malaysia 2023 pentas promosi busana etnik Sabah

ByBernama

KUCHING, 17 Sept: Sambutan Hari Malaysia 2023 menjadi ‘pentas’ kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) mempromosikan busana pelbagai etnik di Sabah kepada khalayak.

Pengerusi KDCA Sarawak Gundohing, James Samid berkata, seramai 150 ahli persatuan itu yang hadir pada sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan di sini malam tadi menggayakan busana tradisi suku kaum di negeri itu seperti Bisaya, Iranun dan Kadazan Dusun.

“Kami mahu promosikan kewujudan etnik Sabah dengan menonjolkan pakaian tradisional kami sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan etnik di negeri ini,” katanya kepada Bernama.

Gundohing, yang berasal dari Kota Belud berkata, kira-kira 500 rakyat Negeri Di Bawah Bayu yang menetap di Sarawak telah berdaftar sebagai ahli KDCA.

“Menerusi perayaan seperti ini, diharap dapat menarik lebih ramai rakyat Sabah yang tinggal di Sarawak kerana bekerja atau melanjutkan pelajaran supaya mendaftar agar KDCA dapat bergerak dengan lebih maju,” katanya.

Segak memperagakan pakaian masyarakat Iranun, ahli KDCA iaitu Nurezaidatuliman Jamiran, 20, berkata, ramai yang tidak mengetahui kewujudan suku kaum itu.

Anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, yang kini melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, berkata, beliau akan mengenakan busana tradisional suku kaum Iranun setiap kali terdapat sebarang acara atau sambutan di kampus.

“Saya bangga dapat memakai pakaian tradisi etnik saya sendiri dan berharap ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutama penduduk Semenanjung yang kurang pendedahan tentang etnik di Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya lebih ramai anak muda sertai majlis seperti ini dan lebih banyak program seumpama ini diadakan. Sempena Hari Malaysia, mari kita sama-sama hindari sikap perkauman,” katanya.

Seorang lagi ahli KDCA, Saiful Ihsan Nasir, 20, dari Tenom, yang berpakaian tradisi Kadazan Dusun, pula berharap lebih ramai orang di Semenanjung dapat mengenali budaya pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan