KUCHING, 16 Sept: Warga Kuching yang lahir sebelum pembentukan Malaysia mangharapkan kemakmuran negara ini dipertahankan untuk selama-lamanya.
Ayang Kahar, 74, berpandangan bahawa hubungan antara ketiga-tiga wilayah, Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah memperlihatkan kemajuan daripada pelbagai aspek terutamanya melibatkan pembangunan dan pendidikan.
“Adalah wajar apa yang dimiliki pada hari ini dikekalkan.
“Hanya ajal sahaja yang mampu memisahkan hubungan akrab antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
“Selesa tiada apa-apa perkara buruk berlaku dan kemajuan semua sangat baik.
“Sarawak, Sabah dan Semenanjung jangan sesekali berpisah, teruskan bersama kerana kemajuan yang kita miliki sekarang ini adalah hasil daripada kerjasam sesame kita, “ katanya ketika ditemui TVS pada Sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan Kuching, pada Sabtu.
Turut senada, Murtada Adeis, 60, yang menyifatkan dirinya bertuah kerana lahir pada 1963 iaitu pada tahun Malaysia ditubuhkan dan mula membangun.
Mengakui pada awalnya dirinya tidak memahami pembentukan Malaysia, namun Murtada mula mengerti keputusan ketiga-tiga wilayah itu untuk bersama telah membawa limpahan nikmat kepada rakyat di negara ini.
“Saya rasa bertuah sebab lahir 1963 sewaktu Malaysia ditubuhkan kerana semuanya aman dan makmur.
“Harapan saya semoga Malaysia terus kekal sampai bila-bila,” ujarnya. – TVS