KUCHING, 16 Sept: Selaku tuan rumah Sambutan Hari Malaysia edisi kali ini, rakyat Sarawak menzahirkan kegembiraan mereka dalam meraikannya hari ini.
Tinjauan TVS menyaksikan rata-rata warga Bandaraya ini meluahkan harapan mereka kepada negara tercinta pada sambutan ke-60 tahun ini.
Lantang bersuara, pelajar daripada SMK Bandar Samariang, Adam mengimpikan Malaysia bebas daripada gejala rasuah yang disifatkan akan memberi imej buruk negara di peringkat global.
“Saya berharap agar negara Malaysia yang kita cintai bebas daripada segala rasuah yang mendatangkan ekonomi buruk.
“Pada masa sama juga saya berharap agar jurang pembangunan amnya diantara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terus dihapuskan supaya kita bersama-sama dapat menikmati kemajuan yang kita sepatutnya kecapi,” katanya.
Turut senada juga seorang penjawat awam, Dave Ajek berharap Sarawak akan sentiaasa dalam keadaaan aman dan makmur serta rakyatnya bersatu padu.
“Paling saya impikan adalah supaya jurang antara golongan berpendapatan rendah dan berpendapatan tinggi dapat kerajaan hapuskan supaya hidup kita semua ini tidak kurang dan tidak lebih juga,” katanya lagi.
Harapan sedemikian serupa dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berikrar mahu menoktahkan isu kemiskinan tegar di negara ini menjelang hujung tahun ini.
Ini kerana menurutnya, beliau enggan mengepalai sebuah negara yang rakyat miskinnya sering ditindas manakala mereka yang kaya pula menjadi bertambah kaya.
Pada masa sama, Anwar turut bertekad untuk menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan, yang menurutnya bagaikan sudah jadi sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan yang dilihat seolah-olah sudah menjadi sistematik ketika pentadbiran kerajaan lama. – TVS