BAU, 16 Sept: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berjanji bahawa capaian internet di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Krokong Bau akan dipertingkatkan daripada 20 mbps kepada 100 mbps.
Menurutnya inisiatif kelajuan internet itu berupaya dipertingkatkan dengan bantuan alat Microwave radio link yang akan menyediakan capaian kelajuan terbaharu kepada lebih ramai penduduk di kawasan sekitar yang disediakan di PEDi.
“Saya difahamkan kelajuan internet di PEDi adalah 20 mbps maka saya telah meminta supaya ia dipertingkatkan dengan menggunakan microwave dan insyaAllah akan dapat mencapai 100 mbps dalam masa terdekat.
“Harapan saya dengan adanya kelajuan internet yang laju di PEDi ini kampung-kampung dikawasan sekitar daerah Bau dapat memanafaatkan PEDi ini sama ada e-dagang ataupun menjadi celik it dan kemudahan-kemudahan lain” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Dewan Masyarakat Kampung Krokong, Bau, pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau berharap dengan peningkatan kelajuan internet nanti, penduduk kampung turut berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan di internet selain memilih untuk mendapatkan maklumat dari portal atau berita yang sahih.
Menyentuh mengenai isu 600 menara Sarawak Multimedia Authority Rural Communication (SMART) yang belum lagi dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi, Fahmi menjelaskan perkara itu bakal diselesaikan dalam masa 1 atau 2 minggu akan datang.
“Masalahnya adalah melibatkan isu komersil dengan syarikat telekomunikasi tetapi kita diperingkat akhir perbincangan,” ujarnya.
Terdahulu pada porgram hari ini, Fahmi turut menyampaikan pakej internet mudah alih prabayar Rahmah kepada 100 penduduk terpilih di daerah Bau dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom, Digi dan Maxis di sini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Digital, Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh. – TVS