KUCHING, 15 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi.
Abang Johari berkata, perkhabaran duka yang diterima hari ini merupakan kehilangan besar buat Sarawak.
“Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dedikasi sepanjang perkhidmatannya.
“Allahyarham menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan pernah menjadi penasihat kepada Kerajaan Sarawak di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan menyumbangkan banyak idea pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Talib di Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching (KRSK) di sini, hari ini.
Talib, 72, yang juga bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) dilaporkan meninggal dunia pukul 6 petang tadi di Pusat Pakar Perubatan Normah.
Allahyarham dimasukkan ke pusat rawatan itu pagi semalam ekoran masalah kesihatan yang dialami.
Sementara itu Abang Johari memberitahu, Talib juga dikenali sebagai seorang yang berani membanters rasuah.
“Saya menyifatkan Talib Zulpilip sebagai seorang yang berintergrasi tinggi,” katanya.
- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita di Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching, di sini, hari ini. Kredit: Izzah kamilah (TVS)
Atas sebab itu ujar Abang Johari Allayarham diberi tugas dalam Ombudsman Kerajaan Sarawak serta dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas.
“Saya mengenali Allahyarham ketika kami menjadi rakan setugasnya dan Allahyarham mengambil alih dalam tugas Kementerian Perindustrian dan bersama-sama melaksanakan dasar industri pada 1987,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan Allahyarham, Abang Johari berkata Talib merupakan pekerja dalam perkhidmatan awam Sarawak yang pernah dipinjamkan kepada Petronas.
Allahyarham Datuk Talib Zulpilip meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah, empat anak serta empat cucu. – TVS