KEPALA BATAS, 15 Sept: Seorang murid darjah enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Sintok di sini mengambil masa selama tiga hari bagi menyiapkan basikalnya dengan hiasan Jalur Gemilang untuk meraikan Hari Malaysia.
Muhammad Haikal Muhammad Naquib, 12, berkata, dia menggunakan kreativiti sendiri menghiaskannya untuk dijadikan seperti bentuk sebuah kereta kebal menggunakan lebihan batang paip plastik (PVC) yang diperolehi dari rumahnya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, idea itu tercetus ketika dia dan rakan berbincang untuk menyertai pertandingan basikal berhias sempena penutup Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia di sekolahnya hari ini.
“Tahun lepas saya ada menyertai pertandingan ini, tetapi hanya hias biasa-biasa dan tetapi tahun ini saya ingin kelainan untuk menampakkan basikal seperti sebuah kereta kebal.
“Saya guna paip PVC dan pengikat kabel milik ayah yang tidak digunakan lagi untuk membentuk rangka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ujar Muhammad Haikal, dia begitu teruja untuk mempamerkan semangat patriotik dengan cara tersendiri dan memilih konsep kereta kebal sebagai lambang kekuatan dan keberanian anggota keselamatan yang menjaga negara daripada ancaman musuh.
Sementara itu, Guru Besar SK Permatang Sintok, Zamri Ismail berkata, kira-kira 400 murid menyertai acara berkenaan turut diserikan dengan perarakan mengelilingi kampung dan sawah padi sejauh dua kilometer.
“Sebanyak 50 buah basikal yang dihiasi Jalur Gemilang menyertai perarakan.
“Pada masa sama, kita juga dapat menonjolkan bakat dan kreativiti murid apabila pada usia muda mereka sudah mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” katanya. – TVS