KUCHING, 15 Sept: Isu menara telekomunikasi yang tidak berfungsi berikutan ketiadaan piring satelit di Sarawak dijangka akan diselesaikan sedikit masa lagi, kata Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, kementerian telah meneliti beberapa perkara untuk mengatasi masalah itu.
“Insya-Allah, saya harap sebelum hujung bulan sekiranya berjalan lancar, akan ada satu pengumuman baik untuk selesaikan perkara ini yang telah lama membelenggu masyarakat di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak berharap diberi peruntukan tambahan untuk menyelesaikan segera masalah berkenaan.
“Menara telekomunikasi yang belum siap diharap dapat diselesaikan segera supaya semua jaringan internet dan komunkasi dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.
Untuk rekod sebanyak 600 menara sedang dipasang oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan separuh daripadanya telah beroperasi. -TVS