KUCHING, 15 Sept: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat singgah di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak seperti dirancang.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, rombongan Kembara Kenali Borneo ketika berada di Sabah tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu yang telah diadualkan pada 4 September dan Tagal, Sungai Moroli, Ranau pada 5 September.
Di Sarawak, rombongan pula tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si, Sibu yang telah dijadualkan pada 11 September. Rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya, Fort Alice di Sri Aman pada keesokan harinya (12 September 2023).
“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) serta rombongan tidak berkesempatan singgah di lokasi-lokasi tersebut atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara, hari ini.
Menurutnya, baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang melibatkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu ditetapkan pada hari-hari berkenaan.
Baginda berdua amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu, bersalaman dan bergambar di lokasi-lokasi tersebut.
“Seri Paduka Baginda bertitah, sekiranya keadaan mengizinkan, baginda berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi tersebut di masa hadapan.
“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, berkemungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili baginda berdua,” katanya. – TVS