KUALA LUMPUR, 15 Sept: Masalah kekurangan beras, pembangunan infrastruktur terutama di Sabah dan Sarawak, perumahan, rasuah dan pelaksanaan subsidi bersasar adalah antara isu yang dibawa oleh Ahli Parlimen pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Perbahasan tiga hari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan KSP RMK12 pada Isnin, disertai 151 Ahli Parlimen dengan cara dan gelagat masing-masing, tidak kurang juga yang membaca sepenuhnya daripada teks ucapan.
Sesi perbahasan yang bermula Selasa tamat pada Khamis dan sebelum menangguhkan persidangan semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata penggulungan oleh kementerian berkaitan akan dijalankan pada 18 dan 19 Sept.
Dua hari (Isnin dan Selasa) diperuntukkan pada sidang khas Parlimen kali ini bagi menteri menjawab segala permasalahan yang dibangkitkan oleh wakil rakyat ketika perbahasan usul itu bagi pihak kementerian masing-masing.
Rata-rata Ahli Parlimen yang berucap membangkitkan masalah keterjaminan bekalan makanan negara terutama isu beras termasuk kenaikan harga beras import, selain isu-isu ekonomi serta menyentuh mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak pula, masalah infrastruktur terutama jalan raya yang tidak sempurna, bekalan air bersih dan karan (elektrik) yang dihadapi rakyat terutama di kawasan pedalaman negeri itu disuarakan bagi mencari jalan penyelesaian.
Selain itu, tidak sah jika tiada gelagat wakil rakyat yang saling berperang mulut sehingga menyebabkan sesi terhenti beberapa ketika, terutamanya apabila masing-masing bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat untuk menyokong hujah.
Antaranya apabila usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bagi mendapatkan penjelasan peguam negara berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid, ditolak oleh speaker.
Bagaimanapun, Johari berkata beliau tetap memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk bercakap mengenai usul yang ditolak itu, selepas pembentangan KSP RMK12.
Pada masa sama, Johari menjelaskan usul itu ditolak kerana persidangan yang berlangsung pada masa ini adalah Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) di bawah kuasa perdana menteri.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor turut menegur Ahli Parlimen untuk menjaga kelakuan dan tidak menjadikan suasana persidangan seperti di pasar borong, sehingga menyukarkan fakta direkod dan penjelasan tidak dapat didengar.
KSP RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Isnin lepas bermatlamatkan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’, dengan memperkenalkan 17 anjakan utama sebagai pemangkin utama.
Melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi menghasilkan keberhasilan yang disasarkan, KSP RMK12 adalah jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia MADANI. – TVS