KUALA LUMPUR, 14 Sept: Isu berkaitan masalah infrastruktur di Sabah dan Sarawak terus mendapat perhatian dan dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen daripada dua negeri berkenaan dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Rata-rata mereka mahu kerajaan melihat secara teliti pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak bagi merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam KSP RMK12.
Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) antara lain meminta kerajaan untuk menaik taraf beberapa jalan termasuk fasiliti kesihatan di Kota Marudu bagi memastikan masyarakat di kawasan itu mendapat akses kepada kemudahan asas dengan sempurna.
“Saya mohon dan rayu kepada kementerian berkaitan… bantu kami, pegawai-pegawai kerajaan turun padang lihat kawasan kami, kesengsaraan rakyat yang kami alami, laporkan, buat perancangan dan buat tindakan supaya semua usaha kerajaan MADANI dapat diyakini rakyat,” katanya.
Beliau berkata ada tempat di Sabah yang masih ketinggalan, bukan sahaja tidak mempunyai jalan yang sempurna malah tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektik, sekali gus memberikan cabaran kepada kerajaan dan beliau sebagai pemimpin, untuk memastikan tiada masyarakat yang terpinggir.
“Ada insiden budak sekolah jatuh daripada jambatan gantung yang tidak selamat untuk digunakan tapi tetap digunakan kerana tidak ada jalan alternatif yang lain. Saya (juga) sempat melawat ke Kampung Sonsogon Mogis. Kampung ini hanya boleh dilalui oleh jalan darat dengan kenderaan pacuan empat roda.
“(Penduduk) Nak turun ke pekan Kota Marudu mungkin hanya setahun sekali kerana sewa untuk kenderaan bagi mereka datang ke Kota Marudu mencecah RM1,000 hingga RM1,500 mengikut kepada keadaan musim,” katanya.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) turut membangkitkan isu ketidakseimbangan pembangunan bagi negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak antaranya masalah infrastruktur dan utiliti dalam sektor pendidikan.
“Bayangkan daerah yang kalau dibantu bukan setakat sekolah itu mendapat bekalan elektrik, air, tapi kadang-kadang kalau kita bina sekolah menengah harganya RM70 juta, tapi kandungan sistem pendidikan itu – guru tidak cukup, komputer tidak ada,” katanya.
Beliau berkata ketika lawatan beliau sebelum ini di sekolah-sekolah dalam kawasan kampung, beliau mendapati kemudahan komputer disimpan di stor kerana kawasan itu tidak mempunyai bekalan elektrik.
Sementara itu Datuk Henry Sum Agong (GPS-Lawas) mencadangkan supaya kontraktor tempatan diberikan keutamaan dalam projek-projek pembangunan di negeri itu kerana mereka lebih mengetahui keadaan setempat termasuk kos bahan binaan, pengangkutan dan perhubungan awam yang diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan projek.
“Di Lawas projek yang lambat disiapkan dan juga projek yang sakit adalah Hospital baharu daerah Lawas, imigresen checkpoint (CIQ) di sempadan Indonesia dengan Sarawak di Ba’kelalan, klinik daerah Lawas, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Long Sukang dan SRK Ba’kelalan.
“Projek yang telah diluluskan dan belum dimulakan pelaksanannya pula adalah sebuah Maktab Rendah Sains Mara Lawas,” katanya.
Isu berkenaan infrastruktur dan kemudahan asas turut mendapat perhatian Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram). -TVS