Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kakitangan KPJ Kuching menggunakan mesin ROSA. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Teknologi ROSA digunakan KPJ Kuching cepatkan proses pemulihan

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 15 Sept: Teknologi Robotic Orthopedic Surgical Assistant (ROSA) yang digunakan untuk pembedahan penggantian sendi lutut memberi harapan baharu kepada pesakit osteoartritis agar pulih lebih cepat.

Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Kuching, Nurhazimah Mahat berkata, teknologi ROSA itu yang kini turut digunakan di hospital berkenaan juga menunjukkan komitmen mereka terhadap penggunaan teknologi perubatan terkini.

ROSA sinar baru industri kesihatan | TVS

“Kita dapat melihat pesakit yang menjalani rawatan penggantian lutut menggunakan ROSA telah melalui proses pemulihan yang lebih cepat.

“Sebelum ini, pembedahan penggantian lutut tunggal secara konvensional memerlukan tempoh sekitar empat hingga lima hari untuk dibenarkan keluar tetapi menerusi ROSA, pesakit boleh keluar hospital selepas tiga hari pembedahan,” katanya kepada TVS di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai bilangan pembedahan lutut yang dapat dilakukan oleh ROSA, Nurhazimah berkata KPJ Kuching menetapkan sebanyak lima pembedahan pada tempoh tertentu.

“Pada tahun lepas, kami mempunyai lebih daripada 400 kes pembedahan penggantian lutut.

“Menerusi ROSA, KPJ merancang untuk melakukan sekitar lima pembedahan penggantian lutut menggunakan robot tetapi sebenarnya jumlah operasi sudah melebihi sasaran sejak pelancaran ROSA iaitu sebanyak 12 kes,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, KPJ Kuching turut terbuka untuk bekerjasama dengan pemain industri lain di sini yang berminat dengan teknologi ROSA.

“Setakat ini, Hospital Umum Sarawak berkesempatan melawat KPJ Kuching untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan ROSA yang ditawarkan,” katanya.

KPJ Kuching juga ujarnya mempunyai perancangan untuk menambah jumlah mesin ROSA pada masa hadapan dan selain terbuka untuk membawa masuk teknologi baharu dalam bidang perubatan.

Pengurus Besar KPJ Kuching, Nurhazimah Mahat ketika ditemubual TVS.

“Kini kita mendengar tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan pembedahan dan menyediakan data analisis semasa pembedahan.

“Mungkin realiti visual (VR) dan seterusnya kami juga mendengar mengenai cetakan 2D dan 3D untuk implan yang digunakan dalam pembedahan dan inilah yang akan diteroka oleh KPJ Kuching untuk pangkalan pembedahan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pakar Ortopedik KPJ Kuching, Dr. Lee Woo Guan memberitahu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi antara yang menggunakan khidmat ROSA bagi pembedahan lutut di Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu KPJ Kuching juga bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi perubatan, Zimmer Biomet Holdings apabila pesakit yang menjalani pembedahan lutut kini tidak perlu menggunakan tongkat untuk berjalan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan