KUCHING, 12 Sept: Seiring peredaran zaman, industri kraf tidak ketinggalan melalui proses evolusi bagi menjana pendapatan lumayan.
Pengarah dan pengasas bersama Tanoti Sdn. Bhd., Jacqueline Fong berkata, kraf tangan mampu menyediakan kerjaya yang berdaya maju dan mewujudkan ekosistem yang bertenaga bagi komuniti luar bandar di Sarawak.
Katanya, syarikat itu menghormati warisan dan budaya kraf di Sarawak namun industri itu juga perlu berkembang.
“Justeru, inovasi amat penting pada hasil produk kraf tangan.
“Penggiat kraf tangan membenarkan produk diguna pakai dan kekal relevan di pasaran masa kini,” katanya ketika ditemui TVS di Borneo Cultures Museum (BCM) di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemeliharaan kraf mampu memperkasa komuniti khususnya golongan wanita supaya mereka boleh menambah baik kualiti hidup selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam pada itu Jacqueline memaklumkan Anugerah Benang Emas Hasanah 2023 yang meraikan kecemerlangan tekstil Malaysia akan berlangsung di BCM 2023 pada 15 September ini.
Ujarnya, anugerah itu bertujuan untuk menyokong usaha untuk mengekalkan, menjana semula dan membolehkan tekstil warisan di Malaysia berkembang maju. -TVS