KUCHING, 12 Sept: Sarawak bakal muncul sebagai hab hidrogen hijau serantau menjelang 2027, kata Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, perkara itu dapat dicapai berikutan pelaksanaan tiga projek bersepadu di wilayah ini termasuk kilang pengeluaran hidrogen hijau di Kuching untuk kegunaan domestik.
“Dua (lagi) kilang pengeluaran hidorgen di Bintulu pula untuk kegiatan eksport yang akan melibatkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kata beliau, tenaga hidrogen merupakan antara komponen tenaga boleh baharu yang sedang diteroka oleh Malaysia menerusi pembangunan Sarawak Hydrogen Hub yang diumumkan melalui Pelan Peralihan Tenaga (NETR).
“(Usaha Sarawak ini akan) mewujudkan industri berasaskan hidrogen baharu seperti pembuatan elektroliser, sel bahan api dan industri kimia hijau,” katanya.
Sehubungan itu beliau memberi jaminan Kerajaan Persekutuan menerusi kementeriannya menyokong penuh usaha Kerajaan Sarawak melalui SEDC Energy Sdn Bhd yang akan bekerjasama dengan rakan strategik untuk merealisasikan matlamat menjadi peneraju hidrogen hijau serantau.
“(Usaha) meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) merupakan salah satu 17 anjakan besar dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang fokus kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) berasaskan peralihan tenaga,” tambahnya. -TVS