KUCHING, 12 Sept: Inovasi dan kreativiti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah terutama berkaitan peraturan atau prosedur lama yang membantutkan sistem penyampaian perkhidmatan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata inovasi kini menjadi penanda atau kayu ukur yang secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti, mengurangkan aspek kecuaian dan meyediakan perkhidmatan yang telus dan cekap.
“Penggunaan mesin dan aplikasi moden boleh menghasilkan produk pada kuantiti yang lebih banyak dan perkhidmatan yang lebih konsisten.
“Manakala inovasi mengautomasi perkhidmatan akan mempercepatkan sesuatu proses dan akan mewujudkan perkhidmatan yang lebih telus,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen KIK Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar 2023 di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, mengautomasikan perkhidmatan dijangka dapat meminimakan ruang dan peluang untuk rasuah serta salahguna kuasa.
Beliau berkata, dengan trend revolusi industri terkini semua pihak perlu membudayakan amalan inovasi dan kreativiti dalam organisasi untuk terus kekal relevan.
Pada masa sama memastikan setiap dasar yang digubal bersandarkan inovasi dan kreativiti itu berupaya memberikan manfaat yang efektif kepada seluruh rakyat.
“Inovasi dan kelebihan teknologi masa kini dimanfaat untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan dihujung jari kepada rakyat,” katanya. – TVS