SUNGAI PETANI, 12 Sept: Seorang lelaki warga emas dan cucu lelakinya ditemui mati lemas di dalam sebuah kolam terbiar berhampiran sebuah restoran ikan bakar di Taman Kempas di sini, semalam.
Mayat mangsa berumur 78 tahun dan cucu berusia 19 bulan itu ditemui orang ramai sebelum seorang pekerja restoran memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkusa kira-kira pukul 7.20 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terapung di dalam kolam sedalam kira-kira satu meter.
“Mayat mangsa telah dikeluarkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan polis mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zaidy, siasatan polis mendapati mangsa sering membawa cucunya bersiar-siar pada waktu petang di kawasan itu selepas dijemput dari tempat ibunya bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Kempas tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Selepas mereka tidak pulang sehingga pukul 7 petang, anak lelaki warga emas itu cuba mencari mereka di sekitar kawasan berhampiran sebelum ternampak orang ramai berkumpul di kolam terbiar itu.
“Apabila sampai, anak mangsa mendapati kedua-dua ahli keluarganya yang menetap di Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal di sini sudah berada dalam keadaan terapung,” katanya. – TVS