Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Asri Shafie (tengah) menunjukkan dadah disyaki syabu yang dirampas polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas hari ini. Foto: TVS.

Nelayan terima upah RM4,000 bagi setiap kilogram syabu yang dibawa

KEPALA BATAS, 12 Sept: Dua nelayan memperoleh pendapatan lumayan hasil peranan mereka sebagai ‘transporter’ dadah apabila menerima upah RM4,000 bagi setiap kilogram (kg) syabu yang dibawa.

Perkara itu dibongkar selepas polis menahan suspek berusia 42 dan 50 tahun pada serbuan di sebuah jeti di Kuala Bekah, Penaga di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner (ACP) Mohd Asri Shafie berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU kira-kira pukul 7 petang itu turut menemui 20 bungkusan dadah disyaki syabu di dalam sebuah kereta.

Katanya, syabu seberat 20.7 kg bernilai RM660,000 yang dirampas itu sedang dalam perjalanan untuk dibawa ke negara jiran melalui jalan laut.

“Berdasarkan risikan, syabu ini dibawa dari Kuala Lumpur untuk dihantar ke Indonesia melalui pangkalan di Kuala Bekah dengan bot milik salah seorang suspek.

“Mereka yang merupakan nelayan warga tempatan berperanan sebagai transporter dengan salah seorang sebagai pembantu,” katanya pada sidang media di IPD SPU, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Asri, siasatan lanjut mendapati, suspek memperoleh pendapatan lumayan hasil pekerjaan itu dengan anggaran RM80,000 bagi perjalanan berkenaan.

“Suspek menerima upah kira-kira RM4,000 bagi setiap kg syabu yang dibawa. Sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini,” katanya lagi.

Ujar beliau, polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dan bot gentian kaca bernilai RM200,000 bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek yang positif syabu direman selama enam hari sehingga 15 September depan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan