BINTULU, 12 Sept: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattudin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sambutan meriah yang diterima di Rumah Panjang Raymond Plen telah memberi kesan mendalam kepada baginda sepanjang Kembara Kenali Borneo.
Titah Al- Sultan Abdullah, keramahan penduduk menyambut kehadiran baginda serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghadirkan suasana sayu ketika hendak meninggalkan rumah panjang berkenaan.
Seri Paduka turut mengakui ini merupakan kali pertama baginda berkunjung ke rumah panjang.
“Saya berterima kasih kepada Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nasar dan barisan menteri yang bersama kerana saya dapat merasai pengalaman sampai kerumah panjang,” titah baginda sempena Kembara Kenali Borneo hari kesembilan di Sarawak.
Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo ialah Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Sementara itu, bagi memperingati keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, penduduk rumah panjang itu telah menghadiahkan baginda berdua sepasang kain pua kumbu dan beg tangan yang dihasilkan menggunakan kain karap.
Kain karap merupakan antara tekstil warisan masyarakat Iban yang ditenun menggunakan benang emas dengan corak khas suku kaum itu. -TVS