KUCHING, 11 Sept: Op Lejang yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching baru – baru ini berjaya menemui sebuah motosikal jenis Honda EX-5 yang dilaporkan hilang di Selayang, Selangor lebih 12 tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, motosikal itu merupakan antara 20 kenderaan termasuk enam kereta yang ditemui dalam operasi yang bermula pada 4 Ogos lepas.
“Sehubungan itu, kita akan bekerjasama dengan IPD Gombak untuk melakukan siasatan terperinci bagaimana motosikal itu boleh ‘sampai’ di Sarawak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, Ahsmon memberitahu, seorang remaja berusia 17 tahun merupakan antara 21 individu yang ditahan sepanjang operasi berkenaan yang berakhir pada 4 September lepas.
Kata beliau, menerusi operasi itu juga, polis menyita 20 kenderaan yang dipercayai dicuri yang dianggarkan bernilai RM146,400.
Katanya, kejayaan itu telah membantu menurunkan kes kecurian kenderaan di bandaraya ini sebanyak 25 peratus berbanding yang direkodkan pada Julai lalu.
“Suspek menyasarkan kenderaan lama yang sistem penggera keselamatan kurang berfungsi atau tidak berfungsi.
“Kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi serta tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) turut menjadi sasaran,” katanya.
Beliau memberitahu, ujian air kencing yang dilakukan mendapati majoriti suspek positif dadah dan akan dakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS