IPOH, 11 Sept: Seorang pengurus projek di sini berputih mata apabila wang miliknya hampir RM400,000 lesap selepas ditipu sindiket Phone Scam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 57 tahun itu mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya wakil syarikat penghantaran dari cawangan Alor Setar, Kedah pada 18 Ogos lepas.
Katanya, suspek memberitahu mangsa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan 100 keping wang palsu yang dikirim ke Kuching, Sarawak.
“Selepas mangsa menafikan hal itu, panggilan kemudiannya disambungkan kepada empat individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pihak polis.
“Mangsa diberitahu oleh suspek bahawa dia terlibat menjual akaun bank peribadi kepada penama yang tidak dikenali dengan nilai RM20,000,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, wanita itu yang ketakutan kemudian menyerahkan maklumat akaun bank dan kad kredit termasuk nombor pin dan kata laluan selepas diminta salah seorang suspek mendakwa dirinya polis berpangkat Datuk untuk siasatan.
“Bagaimanapun selepas panggilan kemudian disambung kepada suspek kelima, dia diberitahu sebenarnya tidak terlibat dengan dakwaan itu dan diminta memberikan beberapa maklumat seperti slip gaji, gambar geran rumah dan gambar barang kemas.
“Mangsa turut mengikut arahan suspek membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 sebelum wang itu dipindahkan kepada dua akaun yang diberikan suspek,” katanya lagi.
Tambah beliau, mangsa akhirnya menyedari menjadi mangsa sindiket Phone Scam selepas dia mendapati terdapat 18 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun berjumlah RM381,950 dalam tempoh 18 Ogos hingga 6 September lalu.
“Transaksi itu tidak diketahui mangsa kerana akaunnya berada di bawah kawalan sindiket Phone Scam selepas dia mendedahkan kesemua maklumat perbankan.
“Dia tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – TVS