PUTRAJAYA, 10 Sept: Hari Malaysia wajar disambut di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara pada 16 Sept setiap tahun bagi membolehkan penghayatan dan meraikan penubuhan Persekutuan Malaysia lebih terangkum, menurut ahli akademik.
Ketua Program Sejarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Suffian Mansor berkata sambutan Hari Malaysia perlu ditekankan dalam kalangan rakyat kerana ia merupakan satu daripada peristiwa bersejarah penting bagi negara.
“Atas semangat itu, sambutan Hari Malaysia boleh memperteguh integrasi nasional negara agar rakyat sedar bahawa merdeka itu bukan setakat Tanah Melayu tetapi juga Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Suffian berkata ramai tidak memahami apa itu Hari Malaysia memandangkan ada dua tarikh utama berbeza muncul dalam kalendar iaitu 31 Ogos bagi sambutan Hari Kebangsaan dan 16 Sept bagi sambutan Hari Malaysia.
“Ini kerana pada hari ini pemahaman dan penghayatan kedua-dua tarikh itu bersifat terpisah dan akibatnya mereka hanya memahami satu sahaja hari kebesaran iaitu Hari kebangsaan. Oleh itu, bulan kemerdekaan akan datang perlu menunjukkan bagaimana kemerdekaan Tanah Melayu telah membawa kepada pembentukan Malaysia,” katanya.
Suffian mencadangkan supaya pemahaman dan penghayatan yang betul tentang Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan bermula dari sekolah melalui pembelajaran sejarah yang perlu diperkasakan dengan melihat kedua-dua tarikh itu mempunyai kesinambungan.
Selain itu, katanya penekanan perlu diberi kepada usaha memperkasakan maksud Hari Malaysia antaranya dengan menonjolkan peranan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh Sarawak dan Sabah yang menjayakan pembentukan Malaysia.
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Dr Al-Amril Othman berkata tarikh 16 Sept juga dianggap penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh rakyat kerana ia berjaya merangkumkan wilayah Sabah dan Sarawak ke dalam satu gagasan negara.
“Ia memberi manfaat dan mengintegrasikan Sabah dan Sarawak serta Semenanjung dalam satu agenda pembangunan yang lebih komprehensif demi kelangsungan sebuah negara bangsa Malaysia,” katanya. – TVS